MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

Kalau ditanya siapakah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, sudah pasti ramai yang tidak kenal. Malah untuk saya yang orang Kajang pun gagal untuk mengenali siapakah YDP Kajang dan ini agak memalukan. ‘Apa benda pula tu YDP Kajang?’ ada juga yang bertanya. Kalau di Shah Alam kita panggil datuk bandar. Apa pula bezanya?  Sekurang-kurangnya yang ada rumah dan perniagaan mestilah kenal majlis perbandaran masing-masing sebab harus bayar cukai pintu.

Jadi, apa beza dengan PBT? Sebenarnya, ia hanya berbeza dari sudut istilah. PBT merupakan nama umum bagi Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah. PBT merupakan kerajaaan tempatan, iaitu kerajaan paling asas dalam demokrasi. Sekejap. Kalau PBT merupakan kerajaan demokrasi, kenapa kita tidak mengundi untuk memilih ahli PBT? Sebenarnya, kita mengundi secara tidak langsung melalui pilihan raya negeri kerana kerajaan negeri yang berhak memilih ahli PBT atau pun lebih disebut sebagai ahli majlis.

Di Selangor terdapat 12 PBT seperti berikut:

1.       Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

2.       Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

3.       Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)

4.       Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ)

5.       Majlis Perbandaran Selayang (MPS)

6.       Majlis Perbandaran Klang (MPK)

7.       Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)

8.       Majlis Perbandaran Sepang (MPSEPANG)

9.       Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS)

10.   Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB)

11.   Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)

12.   Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 

Menurut senarai di atas, terdapat 2 PBT bertaraf majlis bandaraya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya manakala 6 PBT berstatus majlis perbandaran. Selebihnya di peringkat majlis daerah. Subang Jaya masih dalam usaha bagi menaik taraf menjadi majlis bandaraya. Mengapakah terdapat perbezaan status bagi PBT? Apa beza majlis bandaraya dengan majlis perbandaran dan majlis daerah?

Menurut laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), perbezaan utama adalah seperti jadual di bawah:

Kriteria

PBT

Majlis Bandaraya

Majlis Perbandaran

Majlis Daerah

Jumlah Penduduk

>500,000

>150,000

<150,000

Hasil tahunan (juta)

>RM100

>RM20

<RM20


Walaupun wujud hal ehwal pengurusan PBT di peringkat Persekutuan, namun peranan mereka umumnya adalah menyeragamkan dasar dan perundangan, menyediakan khimat nasihat teknikal dan medium bagi menyalurkan dana daripada kerajaan Persekutuan. Selainnya, PBT diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Antara dasar-dasar penting daripada Persekutuan yang boleh dijadikan panduan ialah Perbandaran Baharu, Komuniti, Kebersihan dan Pengurusan Sisa Pepejal.

Kuasa autonomi yang ada pada PBT setakat ini hanyalah dari sudut kewangan dan pentadbiran sahaja, manakala dasar dan undang-undang adalah mengikut agenda kerajaan yang lebih tinggi iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Setakat ini, ahli majlis PBT di Selangor mendapat elaun RM2500, dan mendapat gesaan persatuan penduduk di pendengaran Selcat tahun 2020 supaya dinaikkan kepada RM5000 supaya lebih setimpal dengan skop kerja mereka yang perlu menyelesaikan masalah penduduk yang banyak dengan segera. Hal ini juga kerana kali terakhir elaun ini dinaikkan adalah pada tahun 2008 daripada RM750 kepada RM2500. Saya merasakan kenaikan ini juga adalah amat wajar kerana meningkatnya jumlah penduduk dalam wad masing-masing sedangkan jumlah wad mempunyai had maksimum yang ditetapkan oleh KPKT iaitu sebanyak 24 wad.

Walaubagaimanapun, menurut malaysiakini, elaun ahli majlis PBT Selangor adalah lebih baik berbanding negeri lain seperti Johor yang baru sahaja menaikkan elaun daripada RM900 kepada RM1800 bagi majlis bandaraya, RM800 kepada RM1300 bagi majlis perbandaran dan RM600 kepada RM1000 pada tahun 2020. Satu lagi contoh ialah negeri Melaka yang menaikkan elaun ahli majlis daripada RM500 kepada RM750 pada tahun 2019.

Menurut UtusanBorneo pula, elaun ahli majlis PBT di Sarawak pula daripada tiada diwujudkan sebanyak RM300 bermula tahun 2019. Mereka sebelumnya diberikan elaun mesyuarat sebanyak RM100.

Sedikit rencah politik saya masukkan. Kenaikan yang dibuat Johor ini dibantah oleh Presiden MCA Wee Ka Siong yang disifatkannya terlalu tinggi. Bantahan ini telah dimuat naik di laman sesawang umno online. Apakah pandangan anda mengenai kenaikan elaun ini?

Nota1: Selcat ialah singkatan bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan. Selcat ini menarik kerana terdapat ADUN dari parti politk yang berbeza iaitu Pakatan Harapan, PAS dan UMNO. Perbezaan kepartian diketepikan demi menambah baik kualiti perkhidmatan.

Nota2: Ahli majlis merupakan jambatan antara persatuan penduduk dengan PBT

Dalam memperjuangkan lebih ramai penyertaan wanita dalam pembuat keputusan, hanya 2 daripada 12 atau 17% kerusi Datuk Bandar atau Yang Dipertua disandang oleh wanita, manakala 10 daripada 12 atau 83% dipegang oleh lelaki. Kerajaan Negeri Selangor boleh mengambil inisiatif memartabatkan peranan wanita dalam masyarakat dengan melantik 6 daripada 12 atau 50% Datuk Bandar atau Yang Dipertua dalam kalangan wanita.  2 kerusi yang dipegang wanita itu ialah MPSJ dan MDKS.

Menurut Dr Muhammad Fathi Yusof, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia ada menyatakan dalam akhbar atas talian Berita Harian bertajuk ‘Pilihan raya PBT lemahkan kuasa kerajaan negeri’, kadar 60,000 penduduk bagi seorang wakil rakyat adalah memadai berdasarkan amalan negara demokrasi yang telah mantap.

Jika diambil contoh negeri Selangor, menurut akhbar The Star, terdapat 2,415,074 pengundi pada PRU ke-14 bagi 22 kawasan parlimen. Purata ke atas jumlah ini adalah lebih kurang 110,000 pengundi bagi setiap kerusi parlimen. Menurut pandangan simplistik Dr Muhammad, ini patut diterjemah kepada dua wakil rakyat kerana berada antara 60,000-120,000 orang pengundi dan sudah cukup dengan seorang ADUN dan seorang ahli parlimen.

Apa yang Dr Muhammad tidak ambil kira ialah bidang kuasa yang berbeza menuntut pengurusan dan perwakilan yang berbeza, serta tidak boleh dikumpulkan peranan bagi perwakilan di peringkat persekutuan dengan peringkat negeri, apatah lagi dengan PBT. Jika dicampur adukkan, rakyat akan semakin keliru dengan peranan di peringkat yang berbeza. Mana mungkin ahli parlimen yang berbahas isu keselamatan negara, hubungan antarabangsa dan pelbagai isu besar harus dibebankan dengan perkara kecil serta bersifat tempatan seperti penyediaan lampu jalan dan taman permainan.

Tambahan lagi, pilihan parti politik oleh rakyat Malaysia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang simplistik dengan memangkah parti yang sama di semua peringkat kerajaan. Boleh sahaja Mak Cik Kiah mahu mengundi parti A untuk menguruskan hal negara akan tetapi tidak berkenan akan pengurusan mereka di peringkat tempatan, lalu memilih untuk mengundi parti B. Mungkin sahaja YB yang kita hendak membahaskan isu PATI bukan YB yang kita hendakkan dalam mengurus cukai pintu dan lampu jalan.

Lagi pula, jika kita mengguna pakai pandangan Dr Muhammad, Selangor dan Kuala Lumpur wajar sekali mempunyai pilihan raya PBT kerana semua 11 parlimen di Kuala Lumpur mempunyai jumlah pengundi lebih 60,000 orang manakala Selangor pula 19 daripada 22 kerusi parlimen dengan 15 daripadanya mempunyai lebih 100,000 pengundi.

 Sudah tentu melaksanakan pilihan raya PBT di kawasan yang kurang penduduk dan kurang pula sumber kewangan akan dilihat sebagai satu pembaziran. Akan tetapi hal ini tidak terpakai di Kuala Lumpur dan Selangor. Apa pula pandangan anda? 


Pengurusan bandar sangat penting demi menjamin kehidupan yang tenang dan stress free. Gambar sekadar hiasan, pemandangan dari Galata Tower, Istanbul.

 

 


Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

UCAS Personal Statement