Moorland Church
Aku
berjalan pulang dari kelas perakaunan petang itu, beberapa jam lagi sebelum
kalendar hijrah mula bertukar tahun. Kaki melangkah agak pantas hendak mengejar
waktu asar yang semakin singkat. Hampir semua orang berjalan laju menuju ke
destinasi masing-masing. Ya, budaya positif masyarakat bumi Eropah. Kelihatan
beberapa orang yang mengambil posisi masing-masing mengedarkan risalah kepada
sesiapa yang lalu berdekatan mereka. Aku tidak terkecuali daripada terambil
risalah itu. Kebiasaannya aku tidak akan membaca sehingga habis risalah yang
aku dapat namun kali ini agak berbeza. Mata hitam aku menangkap beberapa
perkataan penting dalam risalah itu ; ‘free food’ dan Dumbarton Road. Ya, makanan
percuma hari ini di kawasan kejiranan aku! Aku gembira sekali memandangkan aku
sedang dalam langkah penjimatan sementara menunggu wang bulan hadapan masuk ke
dalam perut akaun bank. Tapi, aktiviti ini akan diadakan di dalam gereja
Moorland. Aku tidak kisah sangat mengenai salib, kristian dan gereja tetapi
saudara seagamaku dari Malaysia, apa pula pandangan mereka. Aku fikir tidak
mengapa, aku cuma hendak makanan percuma bukan menukar akidah kepercayaan aku
dari Tuhan yang Esa kepada konsep Triniti.
Aku
bergegas dengan langkah yang semakin laju pulang ke rumah. Perkhidmatan bas di
sini sangat memuaskan kerana terdapat pelbagai laluan pilihan dan tidak perlu
menunggu waktu yang lama jika terlepas bas. Paling lama pun lebih kurang lima
minit. Aku bertuah kerana duduk di pusat bandar, semua laluan bas ada di situ.
Setibanya aku di rumah dan menukar pakaian, aku melangkah keluar rumah menuju
ke gereja Moorland yang tidak sampai satu minit pun berjalan kaki. Sampai di
pintu, aku disapa oleh seorang wanita yang amat mesra. Aku dijemput masuk ke
dalam dan kelihatan sudah ramai orang mula menjamu selera. Mereka
menghidangkan sosej daging kepada tetamu
yang hadir. Aku meminta supaya dihidangkan hidangan vegetarian. Akhirnya dapat
juga merasa sosej dibuat daripada kacang soya. Aku mengunyah dengan
perlahan cuba untuk meresapi rasanya dalam minda. Nampak seperti sosej daging
rasa juga seperti daging. Aku mula makan dengan menyebut nama Allah. Sepanjang dalam gereja itu aku cuma ingat tiga individu iaitu Andrew, Rica dan David.
Mereka semua amat ramah dan pandai mengambil hati berbicara dengan orang yang
baru mereka kenali.
Gambar Hiasan: Eva dan Andrew memberi ucapan selamat datang dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. |
Usai
makan sampai kenyang, mata kami semua tertumpu kepada seorang lelaki yang
sedang berdiri dan bersedia untuk berucap. Di sebelahnya ada seorang wanita
cina yang menterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin setiap ayat yang diungkapkan
oleh lelaki Inggeris tadi. Selain aku dan orang tempatan, semua
yang hadir ialah mereka dari Tanah Besar China. Usai ucapan lelaki itu yang
menekankan kesyukuran kepada Tuhan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Aku termasuk dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Nasrani, seorang sahaja Muslim dalam kumpulan itu, selebihnya atheist. Ini antara kesan pemerintahan China dengan konsep Komunisme. Rica dan Andrew
menjadi naqib dan naqibah. Setiap daripada peserta diberikan
satu buku yang tertulis kitab Gospel khusus kisah yang diriwayatkan oleh John,
salah seorang daripada Hawariyyun nabi Isa a.s. Surah John ini banyak
berkisahkan mukjizat yang ada pada nabi Isa dalam konteks baginda sebagai anak
Tuhan.
“ For
God so loved the world that he gave his one and only Son, that whoever believes
in him shall not perish but have eternal life. ”
Rica
dan Matthew sangat bersemangat dan ikhlas dalam menyampaikan kefahaman mengenai
kasih-sayang Tuhan dan kesempurnaan nabi Isa a.s sebagai anak Tuhan. Sedang
mereka asyik dengan perkongsian itu, waktu isya dalam setengah jam
lagi dan aku belum menunaikan solat maghrib. Aku yang agak segan hendak berlalu
pergi begitu sahaja dengan berani memberitahu mereka bahawa aku ada urusan dan
perlu pulang ke rumah. Isya agak awal seawal jam tujuh setengah sudah masuk
waktu. Rica dengan senyuman ikhlas mengangguk tanda faham. Lain kali datang lagi mendalami kisah menurut kitab Bible.
Comments
Post a Comment