Pengangkutan Awam di Selangor

Manusia secara asasnya mesti mempunyai kebebasan untuk bergerak. Tanpa kebebasan untuk bergerak, kita tidak dapat pergi menuntut ilmu, berniaga, kerja, melancong dan mendapatkan keperluan harian. Walaupun demikian, kebebasan ini ada batasannya. Jika seseorang itu melakukan kesalahan yang mengganggu aturan masyarakat seperti merompak dan membunuh, kebebasan bergerak itu wajar ditarik daripada mereka. 

Kebebasan yang kita miliki menjadi kurang bermakna apabila kemudahan pengangkutan awam yang kurang efisien dan berintegrasi menjadi halangan kepada masyarakat untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sebagai contoh, jumlah masa perjalanan dari bandar Kajang ke pusat bandar Kuala Lumpur (MRT stesen Bukit Bintang) dapat dipendekkan kepada 30 minit. Kadar kekerapan pula ialah setiap 3 minit pada waktu puncak dengan menaiki MRT. Keadaan ini jauh lebih baik kerana di bandar Kajang sahaja terdapat 3 stesen MRT yang memudahkan penduduk sekitar Kajang untuk ke pusat bandar. Hal ini tidak mampu dicapai dengan menaiki KTM komuter yang mengambil masa lebih lama dan juga kadar kekerapan yang amat rendah walaupun pada waktu puncak. 

Sebagai seorang pengguna pengangkutan awam di lembah Klang, kadar kekerapan dan integrasi lokasi merupakan antara faktor utama untuk masyarakat menggunakan pengangkutan awam sepenuhnya. Faktor lain yang mempengaruhi keputusan untuk menaiki pengangkutan awam ataupun tidak ialah jumlah kos yang ditanggung dan keselesaan koc dan stesen. Kedua-dua faktor ini telah dapat dipenuhi MRT dan LRT kerana terdapat pas My100 dan koc serta stesen dijaga dengan baik walaupun kadang-kala masih terdapat masalah yang berlaku pada LRT. Jika penulis memilih untuk memandu kereta ke Kuala Lumpur dari Kajang, hal ini akan mengambil masa lebih kurang satu jam pada waktu puncak. Jika penulis memilih untuk keluar dari rumah awal pada jam 7.00 pagi, masa yang diluangkan bersama ahli keluarga ataupun privasi sendiri menjadi semakin sedikit, berbeza dengan menaiki pengangkutan awam yang mana penulis boleh keluar jam lapan pagi.

Kesesakan jalan raya di Bandar Baru Bangi dan Putrajaya juga semakin buruk dari tahun ke tahun. Sudah tiba masanya pihak kerajaan memandang serius isu ini dengan penyediaan pengangkutan awam yang efisien dan berintegrasi. Sudah tiba masanya para penjawat awam boleh ke bangunan Kementerian Pengangkutan dengan menaiki transit pantas. Jika dilihat di Google Maps, penulis perlu mengambil masa selama sejam setengah untuk sampai dari rumah ke Kementerian Pengangkutan dengan menaiki bas. Kadar kekerapan yang kurang menjadi faktor utama kepada jumlah masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi tersebut walhal jarak hanya sekitar 24 kilometer. Dengan menaiki MRT penulis hanya meluangkan masa sekitar 30 minit untuk jarak yang sama.

Marilah sama-sama menyokong reformasi pengangkutan awam bagi memastikan taraf hidup rakyat Malaysia bertambah baik  seiring dengan hasrat untuk menjadi negara maju yang cakna dengan kesejahteraan hidup masyarakat. 

Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

UCAS Personal Statement