DEMOKRASI DALAM PENGURUSAN BANDAR

DEMOKRASI DALAM PENGURUSAN BANDAR 

Hai semua, dalam rencana kali ini kita akan berbincang mengenai mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) setelah dimansuhkan pada tahun 1965 apabila negara berdepan dengan darurat konfrontasi Indonesia.

Terdapat segelintir pihak yang menentang pilihan raya PBT kerana akan dikhuatiri mengakibatkan ketegangan kaum apabila sesuatu bandar itu dikuasai oleh satu kaum sahaja. Pada saya hal ini tidak seharusnya menjadi kerisauan kerana kita sudah pun mempunyai pilihan raya di peringkat negeri dan persekutuan.

Situasi yang ada sekarang ialah menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976, ahli majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri. Ini menunjukkan bahawa demokrasi PBT wujud melalui pilihan raya di peringkat negeri secara tidak langsung.

Apakah peranan ahli majlis yang ada dalam kerajaan paling asas di Malaysia ini? Antaranya ialah:

·       menyediakan bajet tahunan PBT

·       merancang polisi cukai pintu dan cukai kediaman komersial

·       caj hiburan, premis perniagaan, haiwan ternakan, tempat letak kereta

·       menentukan lesen penjaja dan pasar

·       merancang keindahan bandar

·       mengurus sistem trafik

·       membangun kemudahan asas bandar seperti laluan pejalan kaki, padang permainan, terminal bas, lampu jalan dan sebagainya

·       merancang keperluan perumahan dan komersial

·       kebersihan bandar

Disebabkan ketiadaan pilihan raya PBT, kebanyakan rakyat tidak akan datang kepada ahli majlis bagi melaporkan aduan permasalahan yang berkaitan dengan tugas PBT seperti dinyatakan di atas, akan tetapi mereka akan pergi ke ADUN negeri, bahkan ada yang mengadu kepada ahli parlimen mengenai masalah-masalah tersebut. Hal ini kerana mereka tidak mengenali ahli majlis di bandar sendiri serta kegagalan mereka memahami peranan wakil rakyat di peringkat yang berbeza.

Ada yang berkata jika diadakan pilihan raya PBT, maka kuasa kerajaan negeri akan berkurangan. Hal ini seharusnya tidak menjadi isu kerana peranan kerajaan negeri sudah pun termaktub dalam perlembagaan seperti hukum syariah, adat istiadat Melayu, perhutanan, pendidikan dan kesihatan awam.

Disebabkan hal ini juga saya melihat sebahagian ADUN memikul tanggungjawab ahli majlis dengan terlibat sama dalam hal seperti penambahbaikan padang permainan dan mengusahakan lampu jalan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku jika pembahagian tugas itu dilaksanakan dengan betul.

Sebagai rakyat, kita membayar cukai taksiran akan tetapi kita tidak mempunyai suara bagaimanakah penduduk bandar ingin hasil bandar itu digunakan serta tidak ada semak dan imbang seperti mana wujud dalam demokrasi di peringkat negeri dan persekutuan.

Kembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan. Sekurang-kurangnya negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur boleh menjadi contoh dengan menjadi negeri dan wilayah pertama yang melaksanakan pilihan raya PBT. Apabila proses ini berjalan dengan lancar, maka boleh diluaskan secara berperingkat di negeri-negeri yang setuju untuk melaksanakannya. Kembalikan suara rakyat dalam demokrasi kerajaan yang paling asas ini.

Seperti slogan di Amerika pada abad ke-18 dulu, ‘no tax without representation’.


Adakah anda rasa pengurusan bandar patut diletakkan di bahu kerajaan negeri? Ada pihak yang mengundi A di peringkat negeri tetapi mengundi B di peringkat persekutuan. Apakah jaminan rakyat tidak mahu mengundi C di peringkat PBT serta mahu mengundi A? Gambar sekadar hiasan berlatar belakang kota Granada pada tahun 2019. Ia merupakan salah satu bekas bandar umat Islam pada zaman Khalifah Umayyah di Sepanyol. 
 

 


Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

UCAS Personal Statement