KELANTAN SEJAHTERA UNTUK ISLAM
KERAJAAN ISLAM DI PANTAI TIMUR
ECRL bakal siap untuk
beroperasi pada tahun 2027. Ini bukanlah jangka masa yang lama, sudah tiba
masa bagi kumpulan pelaburan dan strategik negeri Kelantan untuk merancang
pembangunan dan menarik pelaburan di peringkat antarabangsa bagi mendepani kemajuan infrastruktur
pengangkutan terutama di Kota Baru dan Pasir Puteh. Isu air seharusnya sudah
tidak kedengaran lagi, kemudahan internet 5G, infrastruktur mesra OKU, pelabuhan Tok Bali boleh dinaiktaraf dan isu kedaulatan perairan
laut negeri Kelantan dari ancaman lanun dan nelayan haram wajar ditangani dengan tegas sebelum ECRL siap.
Untuk seseorang yang
tidak pernah menjejakkan kaki ke Kelantan, ECRL membolehkan saya untuk pergi ke
Kelantan setiap bulan untuk pergi makan makanan Kelantan yang terkenal dengan
keenakan rasa pantai timur. Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang saya tidak pernah pergi dalam Malaysia namun ada banyak restoran Kelantan di Lembah Klang. Rakyatnya juga hebat berniaga dan ramai professional dari Kelantan menetap di Lembah Klang. Jiran saya dulu orang Kelantan.
Pentadbiran Islam seperti
pelaksanaan hudud merupakan suara demokrasi majoriti rakyat Kelantan dan sewajarnya
diberi kebenaran oleh kerajaan Persekutuan. Lagi pula, sudah berpuluh tahun ini
merupakan kemahuan rakyat Kelantan dan PAS yang ingin menubuhkan kerajaan Islam
berlandaskan wadah demokrasi. Kerajaan Persekutuan juga perlu serius dalam
membantu Kelantan untuk keluar dari kancah kemiskinan dan berdiri sama tinggi
dengan negeri-negeri pantai barat.
Pada PRU-14, PH kalah
semua kerusi yang ditandingi iaitu sebanyak 43 buah kerusi daripada 45 kerusi
DUN. Hampir kesemuanya hilang wang deposit kerana mendapat undi kurang 12.5%
daripada jumlah undi. Kerusi yang selamat wang deposit hanya 6 iaitu N8 Tanjong Mas, N9
Kota Lama, N10 Bunut Payong, N17 Salor, N19 Demit dan N45 Galas.
PH bukanlah menjadi pilihan
pertama mahupun kedua, bahkan menjadi pilihan ketiga dalam kalangan pengundi di
DUN Kelantan kecuali di N8 Tanjong Mas dan N9 Kota Lama. N11 Tendong
menyaksikan undi kepada PH lebih sedikit jika dibandingkan dengan calon bebas
Ibrahim Ali.
Jelas bahawa rakyat Kelantan
tidak berkenan dengan PH kerana walaupun ada antara mereka yang tidak mahu PAS,
mereka tidak sanggup memberi undi kepada AMANAH yang dilihat hanyalah sebagai
parti serpihan PAS yang banyak dipengaruhi DAP. PBBM dan PKR juga dilihat
sebagai tidak relevan di Kelantan. PAS menang dengan sangat selesa 37 daripada
45 kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya 8 kerusi dimenangi UMNO.
Kadar purata pengundi di
DUN Kelantan ialah seramai 23,000 orang dengan N26 Bukit Panau mempunyai
pengundi tertinggi iaitu sebanyak 35,000 manakala N42 Dabong mempunyai jumlah
pengundi terendah sebanyak 11,800 orang pengundi. Jumlah pengundi di Kelantan
adalah sekitar 1 juta orang.
Saya masih tidak
mengetahui mengapa PH tidak bertanding di N20 Tawang dan N38 Kuala Balah.
Dengan terbentuknya Muafakat Nasional saya menjadi agak susah untuk meramalkan
situasi politik di Kelantan untuk PRU-15. Ini kerana undi solid kepada semua calon
ADUN Muafakat Nasional sudah pasti akan menjadikan negeri Kelantan sebagai
negeri tanpa pembangkang. Dan ini tidak bagus untuk demokrasi yang sihat. Terdapat
2 kerusi DUN yang DAP berminat iaitu N45 Galas dan N9 Kota Lama yang merupakan
kerusi campuran Cina, Melayu dan Orang Asli. Melainkan pengundi PAS tidak senang dengan gabungan UMNO dan PAS, peluang PH adalah amat tipis.
Ia akan menjadi satu keajaiban
jika PH melalui AMANAH mampu mengaut satu pertiga kerusi DUN dalam PRU-15 nanti.
Comments
Post a Comment