NEGERI YANG DIPANDANG SEPI

NEGERI YANG DIPANDANG SEPI

Perlis ialah negeri yang paling kecil di Tanah Melayu. Sekali sahaja saya pernah masuk ke Perlis, itu pun sebab hendak ke Phattalung, Thailand melalui Padang Besar. Kalau tidak, mungkin saya pun tidak pernah datang ke negeri ini. Perlis hanya mempunyai sekitar 260,000 penduduk pada tahun 2019, bersamaan dua kawasan parlimen di Selangor.

Perlis mempunyai 15 DUN dengan purata 10,000 orang pengundi di setiap DUN, menjadikannya paling rendah di peringkat Tanah Melayu. Separuh DUN mempunyai kurang daripada 10,000 pengundi dengan N4 Mata Ayer hanya mempunyai 7,600 pengundi. Saya merasakan adalah lebih baik jika pentadbiran di peringkat negeri Perlis digabungkan dengan negeri Kedah sekiranya  boleh mencapai kadar kecekapan dan economies of scale yang lebih baik berbanding Perlis bersendirian.

Perlis kekal di bawah BN apabila memenangi dua per tiga atau 10 dari 15 kerusi DUN. Baki 2 ialah PAS dan PKR menguasai baki 3 kerusi. DAP, PBBM dan AMANAH kalah di semua kerusi yang ditandingi. Walaupun PH dan PAS kalah, namun mereka memberikan saingan yang sengit kepada BN dengan mendapat sekitar 20%-30% jumlah undi. BN pasti kalah teruk jika PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat yang telah terkubur. Di sini perpecahan AMANAH dan PAS memberi kelebihan kepada BN.

2 daripada 3 kerusi yang dimenangi PKR mempunyai peratusan kaum cina yang tertinggi iaitu N8 Indera Kayangan 44% dan N9 Kuala Perlis 21%. PKR menang tipis di N7 Sena yang mempunyai majoriti Melayu sebanyak 87%. 11 daripada 15 DUN mempunyai komposisi Melayu melebihi 80%.

BN Perlis berjanji untuk menyediakan kemudahan universiti, projek rumah mampu milik, mewujudkan zon perdagangan bebas Padang Besar dan membuka semula sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian. Wang Kelian menjadi sunyi sepi apabila Zon Aliran Bebas dimansuhkan BN sendiri pada tahun 2015. Pekan ini menjadi seperti pekan mati yang sebelumnya meriah dengan puluhan bas pelancong. Di situ juga diterima mata wang Thailand Baht. Pemansuhan Zon Aliran Bebas ini terjadi setelah ada penemuan lebih 100 rangka warga Rohingnya yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia. Pada tahun yang sama juga Jabatan Imigresen membatalkan pergerakan bebas sepanjang 2 kilometer di kawasan ini.

Berdasarkan pola pengundian pada PRU-14 dan PRU-13, Muafakat Nasional mampu mengukuhkan kuasa BN di Perlis untuk PRU-15. Namun begitu, jika akar umbi PAS tidak senang akan gabungan ini dan mengadakan undi protes, PH masih punya peluang untuk mendapatkan Perlis buat pertama kali pada tahun 2023.

Disebabkan kita berjiran dengan Thailand melalui Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, saya tidak pernah merasakan orang Thailand sebagai orang asing. Lagi pula, sekolah asrama saya di Kajang menerima sejumlah pelajar Thailand sepanjang lima tahun saya belajar di situ atas usaha bagi menaik taraf hidup masyarakat Melayu Islam di selatan Thailand. Moga hubungan Thailand-Malaysia bertambah erat.



Perbezaan budaya boleh diraikan jika kita boleh berlapang dada menerima kepelbagaian. 

Gambar ialah suasana pasar di Phattalung yang mana jalan masuk kumpulan saya ialah melalui sempadan di Padang Besar, Perlis. 

Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

UCAS Personal Statement