ANTARA BAHASA, SEKOLAH DAN SELANGORKINI

ANTARA BAHASA, SEKOLAH DAN SELANGORKINI


Menurut Jabatan Statistik Malaysia, komposisi kaum di Selangor ialah 60% Melayu, 27% Cina, 12% India dan 1% lain-lain. Manakala agama-agama utama yang menjadi anutan rakyat Selangor ialah Islam, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian. Di kawasan bandar Kajang sahaja terdapat gereja, kuil, tokong, masjid dan gurdwara yang berdekatan antara satu sama lain.

Masuk sahaja bandar Kajang, ada kedai India yang menjual bunga segar, Cina yang menjual biskut dalam tin dan Melayu yang menjual sate. Kajang tidaklah semaju saudaranya di Petaling Jaya, Subang Jaya mahupun Shah Alam walaupun jaraknya 20 kilometer sahaja dari bandar Kuala Lumpur.

Mutakhir ini banyak kedengaran bahawa sekolah-sekolah didominasi satu kaum sahaja. Kalau di pantai timur yang mana komposisi orang Melayunya hampir 100% itu tidak menghairankan kerana memang itu keadaannya. Akan tetapi jika berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur ini adalah satu perkara yang amat membimbangkan.

Semasa bersekolah di sekolah kebangsaan dulu, rakan sekelas saya bercampur antara Melayu, Cina, India dan Sikh. Ada Nickholas, Pirthivin, Kavita, Shangkaree, Devi, Hummesh, Singh, Wong Chin Wen, Qayyum, Amira, Erin dan ramai lagi yang lain. Guru-guru pun bercampur dari Puan Lim, Puan Gowry dan Cikgu Zaidi. Pendek kata sejak dari sekolah rendah lagi saya telah merasai pengalaman hidup dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama. Saya bersyukur kepada Allah atas peluang tersebut.

Tidak ada sesiapa yang memilih untuk untuk dilahirkan dalam kaum apa, mahupun di mana. Oleh sebab itu, saya menolak idea yang bersifat supremacy ataupun ketuanan terhadap sesuatu kaum. Tidaklah saya sebelum lahir meminta dilahirkan menjadi Melayu. Tidak pernahkah mereka yang memperjuangkan ketuanan Melayu cuba untuk merasai atau memahami jika mereka dilahirkan bukan sebagai Melayu?

Rasisme atau perkauman berlaku dalam mana-mana kaum. Tidak dinafikan terdapat diskriminasi dalam dunia pekerjaan di mana dua orang mendapat upah gaji yang berbeza walaupun melakukan tugas yang sama hanya kerana mereka berbeza kaum. Belum lagi diskriminasi dan prejudis terhadap golongan wanita lagi-lagi yang sudah berkahwin. Pendek kata, diskriminasi boleh berlaku di mana-mana namun Islam tidak mengajar supaya penganutnya membalas perkauman dengan perkauman.

Saya senang hati melihat lidah kerajaan negeri Selangor, Selangorkini yang menerbitkan akhbar dalam empat bahasa utama rakyat Selangor iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Selangor boleh mengorak langkah ke hadapan dengan mengiktiraf ketiga-tiga bahasa ini sebagai bahasa rasmi negeri Selangor selain Melayu yang memang pun bahasa rasmi utama. Kalau Sarawak telah terkehadapan dalam mengiktiraf bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa rasmi Sarawak, kenapa tidak kita?

Gambar-gambar di bawah adalah akhbar Selangorkini yang diterbitkan dalam empat bahasa utama rakyat Selangor. 






Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

UCAS Personal Statement