MENTERI BESAR SELANGOR KE-17 JUGA YANG PERTAMA..

MENTERI BESAR SELANGOR KE-17

Dalam PRU-14, DAP berjaya memperoleh semua 16 kerusi yang dipertandingkan daripada jumlah 56 kerusi. Ini menjadikan DAP mempunyai 29% kerusi, parti komponen kerajaan terbesar di Selangor selepas PKR yang memegang sebanyak 32% atau 18 kerusi manakala AMANAH mempunyai 8 kerusi DUN. Ini menjadikan jumlah kerusi Pakatan Harapan sebanyak 42 daripada 56 kerusi atau 75%  keseluruhan DUN, lebih daripada 2/3 majoriti.

Selangor merupakan negeri yang berbilang kaum dengan tiga kaum utama iaitu Melayu 60%, Cina 27% dan India 12% manakala lain-lain 1%. Namun begitu, jawatan Menteri Besar Selangor sebagai ketua kerajaan negeri sejak 1947 seramai 16 orang terdiri daripada lelaki, Melayu dan Muslim. Belum pernah kita dapat merasai pentadbiran diketuai oleh seorang wanita, hindu/buddha/kristian atau cina/india.

Sudah tiba masa untuk kita mengambil kira masyarakat yang rencam sosio-demografi-ekonomi bagi meraikan kepelbagaian yang kita punyai ini. Syarikat multinasional yang berjaya pun mementingkan kepelbagaian kerana sedar dengan mengambil pekerja yang datang dari pelbagai latar sosio-ekonomi-demografi, mampu untuk memberikan pandangan yang berbeza berdasarkan pengalaman dan latar hidup mereka. Oleh itu keputusan yang dibuat sudah pasti akan mengambil kira pelbagai faktor.

Tambahan lagi, wanita membentuk hampir separuh (48%) daripada keseluruhan penduduk Selangor. Keluarga sekarang bukan perempuan duduk di rumah menjaga anak-anak manakala lelaki keluar mencari rezeki, akan tetapi kedua-dua suami dan isteri bekerja bagi menyara kehidupan keluarga. Wanita juga bebas untuk berpersatuan, bersukan, mengundi, atau apa sahaja aktiviti di ruang umum. Namun, tidak pernah sekalipun seorang wanita duduk di kerusi Menteri Besar Selangor. Kita hampir sahaja mendapat Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15, namun digantikan dengan Azmin Ali.

Selain itu, kaum Melayu, Cina dan India telah lama menetap bersama di negeri Selangor ini, sejak kedatangan British lagi pada abad yang lalu. Kita bermuamalat, bersiasah bersama-sama dengan mereka. Taat setia kaum Cina dan India kepada Malaysia/Selangor juga tidak berbelah bahagi setanding dengan orang Melayu. Kerana ini bukan hanya tanah air tumpah darah kita sahaja, bahkan bagi mereka juga. Atas dasar sama-rata dan meraikan kepelbagaian, kaum bukan Melayu dan bukan Muslim juga wajar diberikan peluang untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Di pihak kerajaan Pakatan Harapan Selangor pula, DAP mempunyai paling ramai perwakilan wanita daripada jumlah ADUN daripada parti mereka iaitu 31%, diikuti PKR 28% dan AMANAH 13%. Namun begitu tidak ada satu pun daripada ADUN DAP wanita yang diberikan jawatan EXCO.

Walaupun begitu, barisan 10 orang EXCO di Selangor pula datang dari latar yang pelbagai apabila mempunyai wanita sebanyak 30%, Melayu 60%, Cina 30%, India 10%. Manakala bukan Muslim pula merangkumi sebanyak 40%, sejajar dan optimal dengan demografi rakyat Selangor. Jika adapun yang memerlukan penambahbaikan adalah bilangan EXCO wanita kepada 50%. Selainnya wajar untuk dikekalkan pada komposisi sedia ada.

Berdasarkan sumbangan parti pula, DAP wajar mendapat 4 kerusi EXCO, PKR 5, manakala AMANAH pula 2. Satu lagi kerusi masih kosong apabila PBBM dikeluarkan dari kerajaan. Sekarang ini DAP hanya memegang 3 kerusi EXCO.

Dalam PRU-14 yang lepas, DAP hanya bertanding 16 kerusi DUN dan memenangi semuanya. Terdapat 8 lagi kerusi campuran yang DAP boleh tawar untuk meletakkan calon mereka dalam PRU-15 akan datang. Ini akan menjadikan DAP bertanding sebanyak 24 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Bagi mendapatkan pecahan yang sama rata, DAP boleh meletakkan 12 daripada calonnya daripada kaum wanita dan separuh 12 lagi daripada kaum lelaki. 

Selain itu, untuk membuktikan bahawa DAP ini adalah sebuah parti berbilang kaum, wajar untuk DAP meletakkan antara 8-10 calonnya daripada kaum Melayu. Sebab kenapa saya tidak mencadangkan DAP meletakkan 15 atau 60% calonnya daripada kaum Melayu adalah kerana sekarang ini DAP bergabung bersama-sama dengan 2 parti majoriti Melayu iaitu PKR dan AMANAH. Jadi, jumlah calon Melayu oleh Pakatan Harapan itu sendiri sebenarnya sudah optimal. Namun begitu adalah amat penting bagi DAP menangkis tuduhan pihak lawan bahawa DAP ialah parti cina yang anti-Melayu dan anti-Islam. Setakat ini pun sukar untuk ditangkis kerana DAP hanya mempunyai 2 daripada 16 ADUN-nya daripada orang Melayu iaitu Jamaliah Jamaluddin (Damansara Utama) dan Edry Faizal (Dusun Tua).

 

NO.

DUN DAP PRU-14

DUN TAMBAHAN DAP PRU-15

1

SEKINCHAN

RAWANG

2

KUALA KUBU BAHARU

BUKIT ANTARABANGSA

3

TERATAI

KAJANG

4

DUSUN TUA

SERI SETIA

5

BALAKONG

BUKIT LANJAN

6

SERI KEMBANGAN 

KOTA DAMANSARA

7

KINRARA

SENTOSA

8

SUBANG JAYA

TANJONG SEPAT

9

BUKIT GASING

 

10

KAMPUNG TUNKU

 

11

BANDAR UTAMA

 

12

BANDAR BARU KLANG

 

13

PANDAMARAN

 

14

KOTA KEMUNING

 

15

BANTING

 

16

SUNGAI PELEK

 

 

Satu lagi cadangan yang pada pandangan saya adalah agak ekstrim dengan menggabungkan AMANAH dengan DAP di Selangor. Hal ini kerana AMANAH juga menyokong serta lebih terbuka dengan masyarakat yang hidup berbilang kaum, agama dan cara hidup. Tambahan lagi dengan gabungan ini akan sedikit sebanyak menghakis sentimen negatif terhadap DAP sebagai sebuah parti cina yang cauvinis. AMANAH harus menyuburkan wacana bahawa menjadi seorang sekular yang mesra agama juga merupakan satu konsep yang diiktiraf dalam Islam. Tidak hilang Islam seseorang hanya kerana tidak meletakkan label Islam di badannya. Jika gabungan ini berjaya, DAP akan mempunyai peluang yang lebih tinggi bagi menembusi kawasan majoriti Melayu yang dapat menerima kepelbagaian kerencaman hidup masyarakat.

Yeo Bee Yin sudah duduk di kerusi Persekutuan. Jika Bee Yin kembali semula ke Selangor, dia masih mempunyai peluang untuk menjadi salah seorang calon Menteri Besar Selangor yang seterusnya. 

 

 

 


Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

UCAS Personal Statement