Pelaburan ASB Dibuka Untuk Semua Kaum

Apabila berbicara mengenai pelaburan di Malaysia, Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan antara instrumen pelaburan yang sering dibincangkan dan agak popular, terutama dalam kalangan orang Melayu.

Terdapat beberapa sebab kenapa ASB merupakan instrumen pelaburan yang menarik perhatian ramai.

1.      1) Tiada caj jualan (sales fee or upfront fee) setiap kali kita deposit masuk duit

2.      2) Harga tetap

Ini bermakna pulangan ASB daripada pengagihan pendapatan (income distribution) bertindak seperti aset bebas risiko (risk-free asset) walaupun ASB ini banyak melabur dalam pasaran ekuiti tempatan yang mempunyai risiko yang tinggi. Siapa saja orang yang tidak mahu untuk melabur dalam aset bebas risiko yang mempunyai pulangan yang tinggi?

Persoalan yang timbul ialah kenapa ASB ini ditubuhkan?

ASB telah ditubuhkan pada 2 Januari 1990 dan ianya diuruskan syarikat pengurus unit amanah iaitu Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB). ASNB telah ditubuhkan pada 22 Mei 1979 dan ia dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).  

Kewujudan PNB pada 17 Mac 1978 adalah bagi naik taraf penyertaan kumpulan bumiputera dalam pasaran modal berteraskan Dasar Ekonomi Baru cetusan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-2 pada tahun 1971 susulan peristiwa rusuhan kaum yang menyaksikan kesenjangan pendapatan antara orang Melayu, Cina dan India yang telah dipisah-pisahkan melalui dasar pecah dan perintah sejak dari zaman pentadbiran British.  

Bumiputera diklasifikasikan sebagai:

1.      1) Melayu

2.      2) Orang Asal

3.      3) Anak Wilayah Sabah dan Sarawak

Golongan bumiputera boleh mendapat pendedahan dalam pasaran modal dengan hanya melabur serendah RM10 dan boleh dikeluarkan (redemption) pada bila-bila masa dengan proses yang laju dan sekejap.

Pendek kata, ASB ini wujud bagi membantu golongan bumiputera yang susah dan tidak mempunyai modal yang cukup bagi melakukan pelaburan sendiri dalam pasaran modal.

Persoalan seterusnya, adakah kesusahan itu hanya wujud dalam golongan bumiputera ataupun ianya wujud dalam kaum-kaum lain yang bukan bumiputera seperti orang India dan Cina.

Berdasarkan dapatan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2014 dan grafik Khazanah Research Institute (KRI), isi rumah berpendapatan rendah dan kaya ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

Persoalannya, adakah relevan lagi untuk sesebuah polisi itu hanya terpakai untuk sesuatu kaum itu sahaja?

Pada pandangan saya, sebarang polisi kerajaan haruslah berfokus kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa mengira kaum kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh memilih untuk dilahirkan dalam kaum yang mana satu.

Pandangan saya ini bersandarkan daripada hadis nabi Muhammad (saw) yang melarang diskriminasi hanya kerana kita berbeza warna kulit.

Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan)

Hadis ini disalin dari laman sesawang mufti kerajaan negeri Perlis.

Kedua, pihak kerajaan hendaklah meneliti kembali apabila kita hendak mengkayakan bumiputera ini, bumiputera yang mana satu? Kesenjangan dalam kalangan bumiputera sendiri juga sangat besar apabila 76% pelabur ASB hanya mempunyai RM5,000 ke bawah dan hanya memegang 2.65% daripada unit keseluruhan pada 31 Disember 2020 berdasarkan laporan tahunan ASNB.

Akan tetapi 9.4% pelabur mempunyai simpanan ASB melebihi RM50,000 dengan 0.3% (27 ribu orang) daripadanya mempunyai simpanan melebihi setengah juta ringgit. Golongan ini memegang 82.63% daripada keseluruhan unit.

Jika dana yang diuruskan ASNB ini adalah terlalu besar, mungkin sudah tiba masanya untuk meletakkan syarat bahawa hanya B40 dan M40 sahaja yang boleh melabur dalam ASB

Cadangan pembaharuan syarat ASB:

1.      1) Penyertaan dibuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum

2.      2) Hanya B40 dan M40 sahaja yang boleh melabur dalam ASB

3.      3) Menurunkan had maksimum pelaburan asal daripada RM200,000 kepada RM20,000

Sekarang ini telah ada banyak syarikat pengurusan aset swasta yang rakyat Malaysia boleh laburkan. Biarlah peranan kerajaan ini menjadi ‘safety net’ untuk rakyat yang memerlukan dan memberi kebebasan kepada pasaran untuk menguruskan yang selebihnya.

Perbincangan selanjutnya yang lebih mendalam diperlukan untuk menguruskan fasa perubahan ini supaya dapat meminimumkan kesan negatif yang mungkin terjadi akibat daripada perubahan dasar ini.

Comments

Popular posts from this blog

MARA KETENGAH International College

MENGENALI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)

UCAS Personal Statement